Thursday, August 02, 2012

DOSA PERUT MEMBAWA MUDARAT


Bulan Ramadhan datang lagi! Seperti biasa, sempena bulan Ramadhan, para peniaga kecil-kecilan dan sederhana akan berusaha berhabis-habisan untuk mencari rezeki lebih. Bazaar-bazaar Ramadhan merupakan antara medan untuk peniaga-peniaga ini berniaga dan mencari rezeki khususnya peniaga-peniaga makanan dan minuman. Dek kerana pelbagai pilihan disajikan, pelbagai juadah dibentangkan di hadapan mata maka, ada sesetengah antara kita yang agak lemah imannya seringkali terikut akan kehendak nafsu yang melampau dan membeli sehabis mungkin.
Akhirnya makanan yang dibeli dengan kuantiti yang berlebihan itu bukan sahaja tidak habis, malah dibuang begitu sahaja akibat tidak mampu lagi untuk ditelan. Secara tidak langsung antara sedar atau tidak, pembaziran berlaku. Maka apabila seorang yang berpuasa itu melakukan pembaziran yakni amalan syaitan, secara tidak langsung juga pahala puasanya juga akan turut berkurangan.

Firman Allah S.W.T: Wahai manusia, makanlah apa-apa yang ada di bumi ini yang halal lagi baik -" Surah Al-Baqarah ayat 168

Makanan yang halal dan baik sangat penting untuk kesihatan kita. Islam juga menyarankan kita agar sentiasa bersyukur diatas segala nikmat pemberian dengan cara memanfaatkannya. Kita juga tidak dibenarkan melakukan pembaziran dalam melakukan pembelian dan lain-lain serta melakukan perkara yang boleh membawa mudarat contohnya seperti makan terlalu banyak atau terlalu kenyang.
Dalam kitab Minhajul 'Abidin, Imam Ghazali r.a menjelaskan bahawa terdapat beberapa kesan buruk akibat terlalu banyak makan atau minum iaitu:

1) Hati akan menjadi keras yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk melaksanakan perkara-perkara kebajikan.
2) Mendorong tubuh badan manusia untuk cenderung ke arah kejahatan.
3) Menghakis kecerdikan dan kepintaran seseorang.
4) Menjadi malas kerana terlalu kenyang dan badan menjadi lemah.
5) Menghalang kekusyukan dalam beribadat.
6) Menyukarkan saat-saat kematian (sakaratul maut)
7) Melemahkan hati.
8) Mengurangkan pahala amalan untuk hari akhirat.
9) Boleh menyebabkan kesulitan ketika dihisab.

Secara kesimpulannya, amalan dan corak pemakanan kita boleh mempengaruhi sikap, pemikiran dan emosi seseorang. Sekiranya seseorang itu makan berlebihan, sikap, pemikiran dan emosinya akan lebih cenderung ke arah negatif justeru akan mengakibatkan pelbagai kesan buruk terhadap siri sendiri.
Makan berlebihan boleh mengundang pelbagai penyakit. Kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan penyakit gaout sering berpunca daripada pola pemakanan seseorang yang tidak seimbang. Begitu juga halnya dengan minuman. Minum minuman bergula tinggi dengan kadar yang berlebihan akan mengundang penyakit kencing manis. Minum minuman yang haram seperti arak pula akan menyebabkan kita hilang kewarasan akal fikiran dan mengakibatkan hilang daya tumpuan.
Selain itu antara hikmah utama larangan makan secara berlebihan adalah untuk mengelakkan diri individu tersebut menjadi malas dan lemah untuk melaksanakan ibadah kepada Allah S.W.T. Maka, apa gunanya berpuasa sekiranya ibadah-ibadah yang lain tidak dijaga? Bukankah begitu?


2 comments :

  1. nice entri..takut dgn perkara ke-6 tu..lepas ni kena berhati2 sebelum beli n makan sesuatu :)

    ReplyDelete
  2. Dylla Abas:aah,sayer pun takut..semoga kita semua bersederhana dalam membeli makanan yang kita nak makan dan boleh menjauhkan perkara di atas.

    ReplyDelete