Bulan Ramadhan datang lagi! Seperti biasa, sempena bulan Ramadhan,
para peniaga kecil-kecilan dan sederhana akan berusaha berhabis-habisan
untuk mencari rezeki lebih. Bazaar-bazaar Ramadhan merupakan antara
medan untuk peniaga-peniaga ini berniaga dan mencari rezeki khususnya
peniaga-peniaga makanan dan minuman. Dek kerana pelbagai pilihan
disajikan, pelbagai juadah dibentangkan di hadapan mata maka, ada
sesetengah antara kita yang agak lemah imannya seringkali terikut akan
kehendak nafsu yang melampau dan membeli sehabis mungkin.
Akhirnya makanan yang dibeli dengan kuantiti yang berlebihan itu
bukan sahaja tidak habis, malah dibuang begitu sahaja akibat tidak mampu
lagi untuk ditelan. Secara tidak langsung antara sedar atau tidak,
pembaziran berlaku. Maka apabila seorang yang berpuasa itu melakukan
pembaziran yakni amalan syaitan, secara tidak langsung juga pahala
puasanya juga akan turut berkurangan.
Firman Allah S.W.T: Wahai manusia, makanlah apa-apa yang ada di bumi ini yang halal lagi baik -" Surah Al-Baqarah ayat 168
Makanan yang halal dan baik sangat penting untuk kesihatan kita.
Islam juga menyarankan kita agar sentiasa bersyukur diatas segala nikmat
pemberian dengan cara memanfaatkannya. Kita juga tidak dibenarkan
melakukan pembaziran dalam melakukan pembelian dan lain-lain serta
melakukan perkara yang boleh membawa mudarat contohnya seperti makan
terlalu banyak atau terlalu kenyang.
Dalam kitab Minhajul 'Abidin, Imam Ghazali r.a menjelaskan bahawa
terdapat beberapa kesan buruk akibat terlalu banyak makan atau minum
iaitu:
1) Hati akan menjadi keras yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk melaksanakan perkara-perkara kebajikan.
2) Mendorong tubuh badan manusia untuk cenderung ke arah kejahatan.
3) Menghakis kecerdikan dan kepintaran seseorang.
4) Menjadi malas kerana terlalu kenyang dan badan menjadi lemah.
5) Menghalang kekusyukan dalam beribadat.
6) Menyukarkan saat-saat kematian (sakaratul maut)
7) Melemahkan hati.
8) Mengurangkan pahala amalan untuk hari akhirat.
9) Boleh menyebabkan kesulitan ketika dihisab.
Secara kesimpulannya, amalan dan corak pemakanan kita boleh
mempengaruhi sikap, pemikiran dan emosi seseorang. Sekiranya seseorang
itu
makan berlebihan, sikap, pemikiran dan emosinya akan lebih cenderung
ke arah
negatif justeru akan mengakibatkan pelbagai kesan buruk
terhadap siri sendiri.
Makan berlebihan boleh
mengundang pelbagai
penyakit.
Kencing manis,
darah tinggi, sakit jantung dan penyakit gaout sering berpunca daripada
pola pemakanan seseorang yang tidak seimbang. Begitu juga halnya dengan
minuman. Minum minuman bergula tinggi dengan kadar yang berlebihan akan
mengundang penyakit kencing manis. Minum minuman yang haram seperti arak
pula akan menyebabkan kita hilang kewarasan akal fikiran dan
mengakibatkan hilang daya tumpuan.
Selain itu antara hikmah utama larangan makan secara berlebihan
adalah untuk mengelakkan diri individu tersebut menjadi
malas dan lemah
untuk melaksanakan ibadah kepada Allah S.W.T. Maka, apa gunanya berpuasa
sekiranya ibadah-ibadah yang lain tidak dijaga? Bukankah begitu?